Polis, sila henti tindakan 'defensive', buat secara 'offensive' - Mohd Shafie

Ridzal Abdullah
Disember 8, 2018 13:47 MYT
Ketua Menteri Sabah, merangkap Presiden parti WARISAN Datuk Seri Mohd Syafie Apa, menerima borang keahlian daripada ahli baharu daripada 121 cawangan di Kawasan Parlimen Kalabakan. - Foto Astro AWANI/ Ridzal Abdullah
Polis diingatkan supaya berhenti bertindak sebagai 'defensive' sebaliknya mengambil tindakan secara 'offensive dalam mengekang kejadian dan kes penculikan serta jenayah rentas sempadan di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sudah tiba masanya kerjasama antara kerajaan terlibat (Malaysia, Filipina dan Indonesia) membuat mekanisma lebih tegas kerana ia melibatkan ketiga-tiga negara.
Kata beliau, perkara itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang akan diadakan pada Isnin depan sekali gus memperincikan bentuk tindakan atau langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani isu tersebut.
"Selain meningkatkan operasi, sudah sampai masanya negara-negara terbabit bertindak balas dan jika perlu kita kejar dan kesan kumpulan penculik tersebut.
"Yang terlibat dalam kejadian penculikan ini adalah rakyat negara jiran Filipina, kita perlu bergabung tenaga dan mengambil langkah-langkah tegas dan bertindak balas. Jangan lagi bersikap 'defensive'," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Borang Keahlian dan Kemasukan ahli beramai-ramai ke Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Dewan Sabah Chinese High School si sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Muis Picho, ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, dan ADUN Merotai Sarifuddin Hatta.
Pada majlis itu, lebih 7000 ahli baharu menyertai WARISAN.
Penyertaan secara beramai-ramai itu adalah daripada 121 cawangan baharu yang dibentuk di kawasan Parlimen Kalabakan termasuk di kawasan Dun Sebatik.
#ADUN #culik #Filipina #Indonesia #jenayah #keselamatan #Ketua Menteri #menteri #Mohd Shafie Apdal #penculikan #Shafie Apdal