Polis: Siasatan ke atas paderi Kristian berhubung isu kalimah Allah lengkap

Teoh El Sen
Januari 8, 2014 04:54 MYT
Gambar Fail
Kertas siasatan berhubung isu penggunaan kalimah Allah telah lengkap selepas polis merakam kenyataan Paderi Lawrence Andrew semalam.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, kertas siasatan dijangka dihantar ke Jabatan Peguam Negara hari ini.
Pada masa yang sama polis mengesahkan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan 1948. Katanya lagi, seramai 99 individu telah diambil keterangan berkait kes berkenaan.
Proses rakaman percakapan terakhir dibuat semalam daripada Paderi Lawrence yang juga pengarang The Herald, sebuah penerbitan mingguan Katolik.
Pada 27 Dis, Lawrence dilaporkan telah menyatakan pendiriannya kepada portal berita themalaysianinsider.com bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Malaysia meskipun JAIS akan menghantar notis peringatan mengenai larangan pengunaan kalimah itu oleh bukan Islam.
Susulan itu juga, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Sekretariat NGO Gabungan Negeri Selangor dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) telah membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan berhubung kenyataan itu.
Beberapa pihak menganggap kenyataan Lawrence sebagai mencabar titah Sultan Selangor yang menyatakan bukan Islam di negeri itu dilarang daripada menggunakan perkataan Allah.
Sementara itu, ketua publisiti DAP Tony Pua dalam satu kenyataan media hari ini berkata keputusan untuk menyiasat Lawrence sebagai tidak adil.
Dia turut mempersoalkan mengapa pemimpin-pemimpin agama lain yang telah didakwa membuat kenyataan yang didakwa lebih berbahaya, seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin, tidak pernah didakwa di mahkamah.
#akta hasutan #Allah #Lawrence Andrew #Mohd Shukri Dahlan #polis