Polis siasat video tular sekumpulan remaja tunggang basikal lajak secara berbahaya

Bernama
September 15, 2024 22:25 MYT
Kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat lalu sekitar 5.30 petang yang memaparkan kira-kira lapan remaja menunggang basikal dipercayai jenis basikal lajak. - Media sosial
ALOR SETAR: Polis menjalankan siasatan berhubung satu klip video tular yang memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal secara berbahaya sehingga salah seorang daripada mereka hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya menerima makluman awam berkenaan klip video berdurasi 20 saat itu pada 9.24 pagi hari ini.
"Siasatan awal berdasarkan rakaman tersebut mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat lalu sekitar 5.30 petang yang memaparkan kira-kira lapan remaja menunggang basikal dipercayai jenis basikal lajak.
"Mereka dilihat berlumba sesama sendiri semasa menuruni jambatan Jalan Teluk Wanjah di sini tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berkenaan kejadian tersebut.
Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan remaja terbabit supaya tampil tampil menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Ifzam Mohd Zaini di talian 012-4043373 atau Balai Polis Trafik Kota Setar di talian 04-7321222.
-- BERNAMA
#basikal lajak #polis #remaja #Alor Setar
;