Polis siasat video tular pemandu e-panggilan hina agama Islam dan negara
Bernama
Jun 5, 2024 22:21 MYT
Jun 5, 2024 22:21 MYT
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat video tular membabitkan seorang pemandu e-panggilan yang mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan negara Malaysia kepada pelancong asing baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga berusia 49 tahun yang melihat video itu di aplikasi TikTok di rumahnya di Kempas Baharu, Johor Bahru semalam.
"Hasil siasatan mendapati video terbabit dimuat naik pada kira-kira 7 malam semalam dengan mengeluarkan kenyataan sensitif.
"Semakan akan dibuat dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan butiran pemilik akaun serta mengenal pasti pemandu e-panggilan itu," katanya ketika dihubungi.
Razarudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, tular di laman sosial video dipercayai dirakam pelancong asing yang memaparkan pemandu e-panggilan mengeluarkan kenyataan menghina Islam dalam perbualan mereka ketika pelancong terbabit menggunakan perkhidmatannya.
-- BERNAMA