Polis siasat video tular OKT dipukul dalam tahanan
Bernama
Oktober 11, 2023 17:36 MYT
Oktober 11, 2023 17:36 MYT
SHAH ALAM: Polis menyiasat sebuah video tular memaparkan seorang lelaki yang didakwa dipukul ketika berada dalam tahanan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Klang Selatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata siasatan itu dilaksanakan berikutan penularan video berkenaan sekitar 8 pagi tadi menerusi aplikasi Telegram Edisi Siasat.
Cha berkata semakan lanjut pihaknya mendapati kejadian itu berlaku di BSJND Klang Selatan pada 10.30 pagi, 2 Ogos 2022, bersabit satu laporan tangkapan polis pada 12.50 tengah malam hari yang sama dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"OKT (orang kena tahan) itu telah dituduh di Mahkamah Klang pada 8 Ogos 2022 di bawah Seksyen 39B ADB 1952 tersebut," katanya dalam kenyataan.
Cha berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan siasatan dijalankan ke atas aduan salah laku yang dipaparkan dalam video tular tersebut.
"Pihak polis tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai kanan atau anggota polis yang didapati melanggar peraturan ditetapkan.
"Kita turut memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak dan polis meminta kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini," katanya.
-- BERNAMA