Polis siasat video tular lelaki parah dipukul

Sinar Harian
Oktober 28, 2022 21:52 MYT
Video berdurasi 48 saat itu memaparkan seorang lelaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang lelaki parah dipukul dua individu di Flat San Peng, Jalan Gandek, Pudu pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, video tersebut dikesan pihaknya tular pada Jumaat.
Menurutnya, video berdurasi 48 saat itu memaparkan seorang lelaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.
"Kejadian dipercayai berlaku pada Rabu kira-kira jam 10 malam melibatkan beberapa individu di lokasi.
"Setakat ini, polis telah mengenal pasti dua individu dipercayai terlibat dalam kejadian ini berdasarkan laporan yang dibuat berkaitan kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan berkaitan kes ini.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," jelas beliau.- Sinar Harian
#kes tular #pukul #Flat San Peng #Pudu
;