Polis siasat video tular individu pandu kereta secara berbahaya di Genting Highlands
Bernama
Mac 10, 2025 17:30 MYT
Mac 10, 2025 17:30 MYT
Tangkap layar daripada klip video yang dimuat naik di laman sosial yang memaparkan aksi sekumpulan pemilik kenderaan memandu secara berbahaya di selekoh jalan di Genting Highlands. -Sinar Harian
KUANTAN: Polis menjalankan siasatan berhubung klip video tular membabitkan sekumpulan pemilik kenderaan dipercayai memandu secara berbahaya di Genting Highlands, Bentong dekat sini.
Ringkasan AI
- Polis sedang menyiasat klip video tular mengenai pemanduan berbahaya di Genting Highlands.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Polis akan menjalankan operasi bersepadu di lokasi tersebut pada hujung minggu dan cuti umum.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima satu klip video berdurasi 8 minit 23 saat melalui Facebook Messenger semalam, yang memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan memandu secara bahaya di selekoh Jalan Genting Highlands.
"Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya kepada orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan selain mengingatkan orang ramai tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang membuat kesalahan berkenaan.
"Polis akan membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.
"Ini kerana, kami mendapat maklumat dan aduan bahawa lokasi itu sering menjadi tumpuan pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam serta pengguna jalan raya lain," katanya.
-- BERNAMA