Polis siasat video tular guru belasah, cekik pelajar di Alor Setar
Adie Sufian Zulkefli
Februari 10, 2020 18:18 MYT
Februari 10, 2020 18:18 MYT
Polis mengesahkan telah menerima satu laporan mengenai kejadian seorang guru membelasah seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di Alor Setar, Kedah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap kejadian tersebut.
Hasil siasatan polis mendapati, insiden itu berlaku pada 1 Februari lalu di asrama sekolah terbabit pada jam 11 malam.
Pelajar terbabit kemudian dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejurus selepas kejadian.
Katanya ,susulan itu polis telah memanggil guru terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Mohd Rozi berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian berlaku dipercayai masalah dalaman yang membuatkan guru terbabit marah dan bertindak demikian.
Namun katanya, siasatan masih diteruskan dan pihaknya turut akan memanggil pelajar terbabit untuk memberi keterangan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan tanpa menggunakan senjata.
Dalam video yang ditular itu, guru lelaki terbabit dilihat menampar muka, menendang kaki dan mencekik leher pelajar terbabit di hadapan pelajar-pelajar lain di dalam sebuah dewan di sekolah berkenaan.
Video yang berdurasi 20 saat itu menunjukkan guru berkenaan marah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pelajar berusia 16 tahun itu.
#Alor Setar
#cekik
#guru belasah pelajar
#Hospital Sultanah Bahiyah
#Polis Daerah Kota Setar
#Seksyen 323 Kanun Keseksaan