Polis siasat video tular gaduh guna topi keledar di persimpangan jalan

Astro Awani
Disember 25, 2022 21:30 MYT
Video kejadian yang dipercayai berlaku di Laluan Klebang Jaya 13, Taman Klebang Jaya tular di Facebook. -Facebook
IPOH: Polis sedang menyiasat insiden dua individu bergaduh menggunakan topi keledar di persimpangan jalan sepertimana tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya mengesan video tular mengenai kejadian yang belum dapat dipastikan tarikh dan masa itu di laman Facebook.
Insiden setakat ini dipercayai berlaku di Laluan Klebang Jaya 13, Taman Klebang Jaya, di sini
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar, lapor Bernama.
"Polis menyeru individu yang merakam kejadian atau mana-mana saksi awam supaya berhubung dengan ASP Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508 bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Rakaman video berdurasi 20 saat itu menunjukkan dua lelaki memukul antara satu sama lain menggunakan topi keledar sebelum bergelut dan bertumbuk di tengah persimpangan jalan berkenaan.
Video Tular | Polis minta perakam, saksi awam tampil bantu siasatan
#video tular #gaduh guna topi keledar #Taman Klebang Jaya #persimpangan jalan