Polis siasat video tular anggota pantau SOP solat Jumaat
Sinar Harian
Februari 26, 2022 18:21 MYT
Februari 26, 2022 18:21 MYT
SUBANG JAYA: Polis menjalankan siasatan berhubung video tular berdurasi 29 saat yang memaparkan anggotanya menjalankan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat di sebuah masjid di Puchong di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, video itu dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook.
"Semakan mendapati kejadian berlaku pada jam 1 petang, ketika anggota berpangkat Koperal menjalankan tugas rutin pemantauan solat Jumaat dan SOP di kawasan pentadbiran Balai Polis Bukit Puchong.
"Anggota itu menerangkan berkaitan SOP terbaru bagi Selangor iaitu jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat perlu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 serta dos penggalak sebelum dibenarkan masuk," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Abd Khalid berkata, satu laporan polis dibuat mengenai penularan video berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyiarkan hantaran menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam melalui kemudahan rangkaian telekomunikasi," katanya.
Menurut Abd Khalid, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada polis melalui Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN