Polis siasat ucapan Ahmad Zahid pada majlis Taklimat Khas Presiden - Bukit Aman

Bernama
Ogos 30, 2022 17:53 MYT
Polis sedang menjalankan siasatan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berhubung ucapannya pada majlis Taklimat Khas Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Sabtu lalu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berhubung ucapannya pada majlis Taklimat Khas Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, Sabtu lalu.
Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, ACP A.Skandaguru, berkata siasatan dijalankan susulan 12 laporan polis diterima terhadap ucapan Presiden UMNO itu.
"Siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pengarah Biro Mobilisasi parti Amanah, Mohd Sany Hamzan, membuat laporan polis terhadap kenyataan Ahmad Zahid ketika beliau berucap semasa taklimat khas itu.
Mohd Sany mendakwa ucapan Ahmad Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak.
Klip video dan teks ucapan Ahmad Zahid dalam taklimat itu tersebar di media sosial.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #siasatan #Bukit Aman #Presidne UMNO #ucapan #Taklimat Khas Presiden #laporan polis
;