Polis siasat sekumpulan lelaki keluarkan 28 kereta tanpa kebenaran
Bernama
Mac 14, 2025 06:45 MYT
Mac 14, 2025 06:45 MYT
Polis sedang menyiasat aduan mengenai tindakan sekumpulan lelaki mengeluarkan 28 kereta yang masih menunggu keputusan mahkamah berkaitan tuntutan insurans di sebuah tempat letak kereta di Kota Bayu Emas, Pendamar, Klang.
SHAH ALAM: Polis sedang menyiasat aduan mengenai tindakan sekumpulan lelaki mengeluarkan 28 kereta yang masih menunggu keputusan mahkamah berkaitan tuntutan insurans di sebuah tempat letak kereta di Kota Bayu Emas, Pendamar, Klang dekat sini pada 12 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Choong Fong berkata, pengadu warga asing berumur 44 tahun itu yang juga pengarah sebuah syarikat perkapalan membuat laporan pada 6.24 petang hari yang sama.
Beliau berkata, siasatan mendapati syarikat perkapalan milik pengadu telah membawa 1,517 kereta menaiki sebuah kapal dari Pelabuhan Klang ke Kota Kinabalu.
"Semasa dalam perjalanan, kapal itu telah mengalami kebakaran dan pihak penyelamat laut berjaya memadamkan kebakaran serta menyelamatkan sejumlah besar muatan kapal dengan kenderaan yang diselamatkan dibawa ke Klang dan disimpan di tempat letak kereta tersebut.
"Siasatan lanjut mendapati beberapa kenderaan yang dibawa oleh syarikat perkapalan ini tidak mempunyai insurans perjalanan," katanya dalam kenyataan.
Cha berkata, sehubungan itu, syarikat perkapalan menghendaki semua pemilik kereta membayar sejumlah wang kepada syarikat perkapalan bagi menampung kos perkhidmatan pihak penyelamat laut sebelum kenderaan itu diserahkan semula kepada pemilik.
Beliau berkata, pemilik kereta yang tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat perkapalan itu telah memohon bantuan daripada Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia untuk mengeluarkan kereta mereka.
"Walaupun terdapat beberapa siri perjumpaan dan perbincangan namun pihak syarikat perkapalan tidak bersetuju menyerahkan kereta berkenaan kepada pemilik sehingga mendapat perintah daripada mahkamah.
"Sehubungan itu, semalam sekumpulan lelaki telah memasuki kawasan parkir kereta untuk mengambil kenderaan tanpa kebenaran daripada syarikat perkapalan," katanya.
Cha berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222
Sebelum ini, media melaporkan pemilik kapal dikenali sebagai MV Malaysia Star telah membuat laporan polis terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Semboyan Malaysia selepas mendakwa pihak berkenaan menceroboh dan mencuri beberapa kenderaan di VV eMall, Kota Bayu Emas.
-- BERNAMA