Polis siasat rumah ibadat pasang bendera terbalik
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 30, 2021 05:06 MYT
Ogos 30, 2021 05:06 MYT
BATU PAHAT: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap insiden pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah rumah ibadat di Kampung Sungai Suluh, Mukim 9 di sini, pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Rungai berkata kejadian itu dikesan pada 12.20 tengahari menerusi gambar tular di media sosial.
"Bertindak diatas maklumat berkenaan pada jam 12.40 tengahari, pihak polis IPD Batu Pahat telah ke lokasi berkenaan dan mendapati bendera tersebut telah diturunkan.
"Pihak Polis akan memanggil penjaga rumah ibadat tersebut dan individu yang terlibat untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.