Polis siasat punca bendera Indonesia dicetak terbalik

Astro Awani
Ogos 20, 2017 14:12 MYT
Mohamad Fuzi (tengah) menyaksikan Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd (kiri) menyerahkan nota serah terima tugas Ketua Polis Johor kepada penggantinya Datuk Mohd Khalil Kader Mohd di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. --fotoBERNAMA
Polis sedang menjalankan siasatan terhadap kes bendera Indonesia yang dicetak terbalik di dalam sebuah buku cenderamata Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menjejaskan hubungan dua negara.
Namun, katanya, ia telah diperjelaskan kepada pihak negara jiran tersebut.
"Saya tak dapat maklumat lengkap tentang perkara ini, tetapi kita sedang ambil langkah siasatan, bagaimana perkara ini boleh berlaku, agar ia tidak berulang lagi.
"Sebab, hubungan kita dengan negara jiran amat penting, terutama mereka yang turut serta dalam Sukan SEA, supaya perkara yang tak diingini ini kita dapat elakkan," kata Mohamad Fuzi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Johor yang baharu antara Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.
Jelas Mohamad Fuzi, setakat ini, beliau belum menerima sebarang maklumat dari pihak Indonesia.
Semalam, bendera Indonesia dikesan disalah cetak secara terbalik pada buku cenderamata itu di halaman 80.
Susulan itu, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dan Khairy Jamaluddin, memohon maaf atas insiden itu dan Menteri Belia dan Sukan itu menyatakan akan membuat kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Imam Nahrawi, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Fuzi berkata, polis meletakkan tahap keselamatan tertinggi bagi temasya Sukan SEA yang secara rasmi berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos membabitkan 404 acara daripada 38 jenis sukan.
"Kawalan keselamatan, dengan mengambil langkah proaktif, diteruskan agar perkara yang tidak diingini tidak berlaku sepanjang berlangsungnya acara sukan itu," katanya.
Sementara itu, di majlis berkenaan, Wan Ahmad Najmuddin, 59, yang menamatkan tugasnya hari ini akan bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang baharu.
Beliau yang hampir dua tahun memegang jawatan Ketua Polis Johor sejak 1 Dis 2015 akan digantikan dengan Mohd Khalil, 57, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Polis Diraja Malaysia Bukit Aman bermula Februari 2016.
#bendera #Indonesia #Jabatan Siasatan Jenayah #KL2017 #Mohamad Fuzi Harun #polis #Siasat #Sukan SEA #terbalik #Wan Ahmad Najmuddin Mohd
;