Polis siasat pergaduhan kumpulan bermotosikal

Sinar Harian
Mac 17, 2024 13:45 MYT
Rakaman video tular memaparkan sekumpulan penunggang motosikal memukul seorang lelaki. -Foto Sinar Harian
AMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan berkaitan video tular yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Bukit Ampang dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis turut meminta individu yang terlibat dalam insiden terbabit untuk tampil bagi membantu siasatan.
"Kita menyedari rakaman video itu telah tular sejak 12 Mac lalu di media sosial. Setakat ini, polis belum menerima apa-apa laporan berkaitan pergaduhan terbabit.
"Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu untuk tampil atau menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sebelum itu, tular video berdurasi 14 saat yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal bertindak memukul seorang lelaki.
Tidak hanya ditendang dan dipukul, malah mangsa turut dipukul menggunakan topi keledar sewaktu terjatuh ekoran pergaduhan terbabit.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan dilihat sempat untuk bangun semula dan cuba melarikan diri. -Sinar Harian
#penunggang motosikal #Bukit Ampang #terbabit dalam pergaduhan #video tular
;