Polis siasat penyebaran rakaman CCTV Jong Nam di klia2
Bernama
Februari 20, 2017 18:35 MYT
Februari 20, 2017 18:35 MYT
Polis sedang mengkaji tindakan terhadap penyebar rakaman kamera litar tertutup (cctv) berhubung kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Penyebaran rakaman cctv itu dilihat telah mengganggu siasatan polis berhubung kes itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim ketika dihubungi Bernama berhubung penyebaran rakaman itu serta tindakan terhadap mereka yang menyebarkan rakaman itu, menjawab ringkas: "kita akan kaji".
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat ketika ditanya soalan sama, berkata polis akan menyiasat perkara berkenaan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
"Perkara ini (penyebaran rakaman cctv) sedikit sebanyak mengganggu tugasan pihak polis," katanya ketika dihubungi Bernama.
Rakaman berdurasi 2.33 saat di Lapangan Terbang Antarbangsa KL 2 (klia2) itu disiarkan sebuah syarikat penyiaran asing itu tular di media sosial sejak malam tadi.
Isnin lepas, Jong-nam dilaporkan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.
Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
-- BERNAMA