Polis siasat pengirim surat berbaur ancaman 'IS Ancam' - KPN
Astro Awani
Ogos 2, 2016 21:29 MYT
Ogos 2, 2016 21:29 MYT
Polis memandang serius dan sedang menjalankan siasatan berhubung surat berbaur ancaman yang diterima sebuah balai polis di Nilai Negeri Sembilan yang didakwa daripada kumpulan militan Daish.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, ancaman seperti itu bagaimanapun tidak akan melemahkan semangat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus menjalankan tugas menjaga keamanan negara.
“Kami pernah menerima lebih kurang empat ke lima surat macam itu dan saya rasa pengirim ini dah pos ke Nilai, Port Dickson (kedua-dua di Negeri Sembilan) dan merata, kita sudah ambil maklum.
“Kami sedang cuba mengesan orang yang hantar surat itu kerana surat itu dihantar melalui pos. Hanya balai polis di Negeri Sembilan sahaja yang pernah menerima surat seperti itu,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya peringkat Kontinjen Polis Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pengirim surat tersebut.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Zaldino Zaludin hari ini mengesahkan menerima surat ancaman yang tertera perkataan ‘IS Ancam’ terhadap pemimpin negara dan beberapa pegawai atasan kerajaan yang dialamatkan kepada Ketua Polis Balai Polis Nilai kira-kira 1 tengah hari semalam.
Beliau berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pengirim surat tersebut.
#IS ancam
#Ketua Polis Daerah Nilai
#Ketua Polis Negara
#KPN
#polis terima surat ancaman
#Zaldino Zaludin