Polis siasat pengawal keselamatan, pelawat bergaduh di hospital

Azee Shafy
Mei 30, 2022 23:16 MYT
Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berikutan kejadian tersebut. - Gambar/ Media sosial
TEMERLOH: Polis membuka siasatan berhubung video tular memaparkan pergaduhan antara pengawal keselamatan dan orang awam di Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS), di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusof berkata, video itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok dan tersebar menerusi media sosial.
"Kami menerima laporan sekitar jam 1.30 tengah hari berikutan penularan video kejadian yang membabitkan perbuatan dengan sengaja menyebabkan kecederaan di kawasan perkarangan hospital terbabit.
"Rakaman video itu memaparkan beberapa orang lelaki sedang bertengkar dan bergaduh akibat rasa tidak puas hati," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Azhar berkata, berdasarkan siasatan awal, ada pelawat mendakwa pengawal keselamatan sengaja melewatkan waktu pertukaran penjaga di salah satu wad, seterusnya menjadi punca pertengkaran dan pergaduhan.
Katanya, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berikutan kejadian tersebut.
"Pihak polis juga sedang mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian itu. Malah, kami juga berharap agar orang yang meyaksikan kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat," katanya.
Pada masa yang sama, Mohd Azhar mengingatkan orang ramai untuk segara melaporkan sebarang pergaduhan serta menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak polis.
#HOSHAS #temerloh #pengawal keselamatan #gaduh
;