Polis siasat penemuan pistol, 30 peluru hidup dalam kereta Safee Sali
Astro Awani
Mei 16, 2016 17:29 MYT
Mei 16, 2016 17:29 MYT
Polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pemilik sebenar pistol dan peluru yang dijumpai di dalam kenderaan milik pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim FC (JDT), Safee Sali.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan selain meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian berhubung perkara itu.
“Biar kita siasat dahulu kereta itu; lagi pun bukan dia yang bawa, orang lain yang gunakan. Orang itu pun telah ditangkap.
“Usah terus membuat andaian; biar kami jalankan siasatan terperinci dan sesiapa yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke mahkamah.”
Khalid berkata demikian ketika mengulas penemuan sepucuk pistol bersama 30 butir peluru hidup di dalam kenderaan milik Safee semalam.
Jelas Khalid, kenderaan pacuan empat roda (4WD) itu dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun ketika ditahan dalam sekatan di susur keluar Kempas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, sekitar jam 12 tengah hari semalam.
Hasil pemeriksaan ke atas 4WD itu, polis menjumpai sepucuk pistol di dalam sebuah beg kuning yang diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan berkenaan.
Khalid berkata demikian selepas majlis penyerahan cek oleh DRB Hicom Berhad bagi penajaan penghawa dingin Maktab PDRM Cheras di Bukit Aman siang tadi.
Safee sebelum itu dilapor menghantar kenderaan miliknya ke kedai suspek minggu lalu untuk diubah suai dan bercadang mengambilnya semula selepas perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung kelmarin.
Polis mengesahkan suspek tiada kaitan dengan Safee dan hanya mengenali pemain bola sepak itu sebagai pelanggan yang mendapatkan khidmat pengubahsuaian di kedainya.
Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.