Polis siasat penemuan mayat terbakar berhampiran stesen KTM Serdang

Bernama
Ogos 27, 2024 19:01 MYT
Anbalagan berkata mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar pada badan ditemukan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP AA Anbalagan berkata berdasarkan dokumen yang ditemukan di tempat kejadian, mangsa dipercayai warga Indonesia berusia 43 tahun, dikenali sebagai Udikalifan.
"Polis menerima laporan pada 11.45 pagi tadi mengenai penemuan mayat berkenaan oleh seorang wanita tempatan, di dalam semak selepas terowong pusingan U berhampiran KTM Serdang.
"Tiba di lokasi, didapati mayat dalam keadaan terbakar tetapi tidak rentung sepenuhnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Anbalagan berkata mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Polis juga sedang mendapatkan pengesahan identiti mayat berkenaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan orang hilang diminta hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.
-- BERNAMA
#penemuan mayat terbakar #Stesen KTM Serdang #AA Anbalagan #Polis siasat