Polis siasat penemuan lapan tong disyaki bahan kimia di Sungai Buloh

Bernama
September 27, 2024 15:16 MYT
Lapan tong sisa buangan jenis cecair dipercayai bahan kimia ditemui di dalam parit berhampiran kawasan perkilangan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh. -Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan berhubung penemuan lapan tong berisi cecair disyaki sisa bahan kimia yang dibuang ke dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh dekat sini Selasa lepas.

Ringkasan AI
  • Polis menyiasat penemuan lapan tong berisi cecair disyaki sisa bahan kimia yang dibuang ke dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.
  • Sampel bahan kimia telah diambil untuk analisis oleh Jabatan Kimia. Lapan tong tersebut telah dibawa ke tapak pelupusan selamat di Bukit Tagar. Sisa kimia disyaki sebagai larutan ammonia.
  • Pasukan Hazmat JBPM membantu membersihkan lokasi kejadian. Pemerhatian mendapati alur parit tersebut memasuki Sungai Gasi dan seterusnya ke Sungai Buloh, namun tiada loji rawatan air di hilir aliran tersebut.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana bencana terhadap tali air.
"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kejadian ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
Hussein berkata sampel bahan itu sudah diambil dan diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk analisis.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Nor Aziah Jaafar berkata lapan tong berkenaan sudah dibawa ke tapak pelupusan selamat di Bukit Tagar dekat sini malam tadi.
"Semakan awal yang dilakukan mendapati sisa kimia berkenaan disyaki sebagai larutan ammonia. Siasatan masih dijalankan bagi mengesan pelaku," katanya.
Semalam, media melaporkan lapan tong berisi cecair dipercayai sisa kimia dibuang ke dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima maklumat berhubung kejadian pada 9 malam, Selasa.
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM turut membantu membersihkan lokasi kejadian dan mengambil sampel bahan kimia terbabit.
Selain itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin dilaporkan berkata pemerhatian Lembaga Urus Air Selangor mendapati alur parit terbabit memasuki Sungai Gasi seterusnya ke Sungai Buloh dan tiada muka sauk loji rawatan air berada di hilir aliran berkenaan.
-- BERNAMA
#tong berisi bahan kimia #Sungai Buloh #sisa bahan kimia #Kampung Desa Aman #Sungai Gasi
;