Polis siasat pemilik akaun X 'Syedewa' kerana mengaibkan imej polis

Bernama
Ogos 9, 2024 05:40 MYT
Polis sedang mengesan pemilik akaun berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
KUALA LUMPUR: Polis menyiasat seorang pemilik akaun media sosial X kerana disyaki membuat hantaran yang mengaibkan imej anggota trafik polis yang sedang bertugas menjalankan sekatan jalan raya di Damansara Damai, Petaling Jaya pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja'afar berkata siasatan dilakukan terhadap akaun yang menggunakan nama 'Syedewa' selepas aduan mengenai hantaran yang telah viral itu diterima pagi semalam.
"Polis sedang mengesan pemilik akaun berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi berkaitan kes ini boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Shahrulnizam turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam penyebaran berita yang tidak pasti.
-- BERNAMA
#aib polis #imej polis #media sosial #Syedewa