Polis siasat pelanggaran SOP libat sekumpulan individu di Glenmarie

Bernama
Julai 25, 2021 20:00 MYT
Siasatan dilakukan susulan satu laporan polis yang diterima pada Ahad setelah video berhubung kejadian itu tular melalui media sosial. - Gambar media sosial
SHAH ALAM: Polis menyiasat tindakan sekumpulan individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dipercayai ketika menghadiri kursus melibatkan sebuah parti politik di sebuah hotel di Glenmarie di sini April lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata siasatan dilakukan susulan satu laporan polis yang diterima pada Ahad setelah video berhubung kejadian itu tular melalui media sosial.
"Pengadu mendakwa kumpulan individu tersebut dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal di antara satu sama lain sehingga perkara itu tular menerusi media sosial.
"Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2021," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Baharudin berkata jika sabit kesalahan, kompaun sebanyak RM2,000 boleh dikenakan ke atas individu manakala RM10,000 ke atas penganjur.
Beliau berkata kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Sejak Sabtu tular melalui media sosial satu video memaparkan sekumpulan individu berkumpul dan menari tanpa penjarakan fizikal selain turut tidak memakai pelitup hidung dan mulut sehingga mendapat kecaman daripada netizen.
-- BERNAMA
#joget #langgar SOP #parti politik #Glenmarie #PKP #Baharudin Mat Taib #menari #tanpa memakai pelitup muka