Polis siasat pelajar sekolah menengah minum air ketum di Kelantan

Vivi Sumanti
April 3, 2018 13:41 MYT
Video dan gambar tiga pelajar perempuan dipercayai meminum air ketum mulai tersebar pagi Isnin dalam aplikasi mesej ringkas Whatsapp dan media sosial Facebook. - Foto Astro AWANI
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan polis sudah memulakan siasatan berikutan dakwaan penyebaran video yang memaparkan gelagat pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di negeri ini.
Video dan gambar tiga pelajar perempuan dipercayai meminum air ketum mulai tersebar pagi Isnin dalam aplikasi mesej ringkas Whatsapp dan media sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Mit Emong, berkata pihaknya akan melakukan pemantauan termasuk menerusi Pegawai Perhubungan Polis (PPS) di sekolah di negeri ini.
Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan turut memaklumkan pihaknya telah mengarahkan siasatan berkaitan kejadian tersebut yang dipercayai berlaku semalam sekitar jam 2 petang.
Katanya hasil siasatan awal mendapati pelajar terlibat terdiri daripada pelajar Tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah di negeri ini.
Lokasi kejadian adalah di luar kawasan dan waktu persekolahan.
Mereka juga dipercayai berkongsi wang membeli air ketum itu dengan harga RM10 dengan tujuan ingin mencuba.
Pihaknya juga sedang mengenal pasti penjual air ketum ini untuk tindakan lanjut.
Hasil semakan rekod disiplin dengan pihak sekolah mendapati kesemua pelajar perempuan terbabit tidak mempunyai rekod kesalah disiplin.
Jika didapati bersalah kes berkenaan boleh di dakwa mengikut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 di mana boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali.
#daun ketum #Facebook #Jabatan Narkotik Kelantan #jenayah #media sosial #Pegawai Perhubungan Polis #pendidikan #PPS #Sekolah Menengah #Seksyen 30 5 Akta Racun 1952 #siasatan #WhatsApp
;