Polis siasat pagar rumah wartawan disimbah cat merah
Bernama
Januari 17, 2020 05:31 MYT
Januari 17, 2020 05:31 MYT
Polis sedang menyiasat kejadian pagar rumah dan kereta seorang wartawan sebuah portal berita yang disimbah menggunakan cat merah, di rumah wanita itu di Island Glade, Gelugor di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata mengikut laporan, kejadian itu disedari oleh ibu kepada wartawan tersebut ketika beliau keluar rumah untuk menyiram pokok di hadapan rumah teres setingkat kira-kira jam 8 pagi yang mendapati pagar dan kereta wanita itu telah disimbah cat.
“Mangsa yang berada dalam rumah terus keluar dan melihat terdapat kesan cat merah, sebelum membuat laporan berhubung kejadian itu kerana bimbangkan keselamatannya dan ibunya yang tinggal di rumah berkenaan. Ini kejadian pertama sejak mereka tinggal di situ kira-kira 10 tahun," katanya kepada Bernama, di sini pada Jumaat.
Soffian berkata wartawan itu dikatakan tidak mengetahui punca dan siapa yang melakukan perbuatan itu, kerana mangsa tidak pernah berhutang dengan ceti haram atau bank, malah beliau mendakwa tidak mempunyai musuh dari segi kenalan mahupun jiran di situ.
Menurutnya, wanita itu juga tidak pernah menerima sebarang ugutan sebelum ini, namun dua minggu lepas terdapat individu menaiki motosikal telah membunyikan loceng rumahnya, sebelum melarikan diri sebaik dia membuka pintu, tetapi beliau tidak mengesyaki apa-apa.
Soffian berkata rumah mangsa dan kawasan sekitar itu tidak mempunyai kamera litar tertutup dan polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut, untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Wartawan itu telah bekerja dengan portal tersebut sejak 20 tahun lepas dan tidak pernah menerima sebarang ancaman. Polis menjalankan siasatan kes itu menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat,” katanya.
Sementara itu, mangsa Susan Loone, 56, yang juga penolong editor portal MalaysiaKini berkata, beliau tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu dan tujuan mereka berbuat demikian.
Katanya beliau dan ibunya kini berada dalam keadaan bimbang dan rasa terganggu dengan kejadian yang pertama kali berlaku itu, serta mengesyaki ia adalah perbuatan khianat.
“Mungkin ia berkaitan dengan berita yang saya laporkan, tetapi saya menulis pelbagai berita setiap hari, tidak tahu berita yang mana satu yang berkaitan. Saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.
-- BERNAMA
#ancaman
#disimbah cat
#kereta
#laporan berita
#Malaysiakini
#mangsa
#pagar rumah
#polis
#portal berita
#siasatan
#Soffian Santong
#Susan Loone
#wartawan