Polis siasat lelaki guna papan luncur di jalan raya
Dewi Nur Harasha Alias
September 7, 2024 11:30 MYT
September 7, 2024 11:30 MYT
BALIK PULAU: Tindakan seorang lelaki dewasa dirakam menggunakan papan luncur di jalan raya di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, Pulau Pinang mengundang kemarahan orang ramai.
Lebih membahayakan, apabila lelaki itu kelihatan duduk serta berbaring di atas papan luncur dengan kenderaan berada di belakang, di hadapan serta di sebelah kanannya yang turut melalui kawasan tersebut.
Ketua Polis daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya memandang serius aktiviti yang dilakukan individu itu yang berbahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.
Kamarul berkata, pihak polis akan mengambil tindakan tegas dan kes di siasat mengikut Seksyen 3 (1) kaedah-kaedah kawalan lalu lintas jalan (larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti) 2021.
Katanya, Polis mengesan video dimuat naik oleh pemilik akaun facebook @Arief Why Pocong Pocong berdurasi 47 saat memaparkan aksi seorang individu menggunakan papan luncur dijalan raya yang boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain pada jam 9.40 malam semalam.
Kamarul Rizal berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Polis Barat Daya di Talian 04-8664122 atau berhubung terus dengan pegawai Penyiasat kes Inspektor Noor Amera Mohd Nawi di talian 013-3312026.
Terdahulu, tular sebuah video tular di media sosial Facebook dan Tiktok yang menunjukkan individu meluncur laju di Jalan raya menuruni bukit dan selekoh dipercayai di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, Pulau Pinang ( Jalan Bukit Baharu ) yang mengundang pelbagai reaksi warga net .