Polis siasat laporan peserta Unduk Ngadau dicabul
Junaidi Ladjana
Jun 2, 2021 15:02 MYT
Jun 2, 2021 15:02 MYT
KOTA KINABALU: Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung laporan polis seorang peserta pertandingan Unduk Ngadau 2021 yang didakwa dicabul oleh salah seorang jawatankuasa penganjur pertandingan itu, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya akan merakam keterangan mangsa bagi melengkapkan siasatan.
“Siasatan yang dilakukan tidak akan mengambil kira latar belakang sesiapa sahaja termasuk individu yang didakwa.
"Tidak kiralah siapa pun, undang-undang tetap akan dikuatkuasakan, sesiapapun tidak boleh melangkaui undang-undang, kita akan siasat dengan adil dan menyeluruh," katanya.
Hazani berkata, hasil siasatan nanti akan diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan selanjutnya.
Sejak semalam, satu laporan polis bertarikh 21 Mei lalu tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp berhubung laporan polis seorang peserta Unduk Ngadau yang mendakwa diraba salah seorang jawatankuasa penganjur.
#Unduk Ngadau cabul
#cabul
#Kota Kinabalu
#unduk ngadau
#Polis siasat cabul
#Pesuruhjaya Polis Sabah