Polis siasat laporan perkahwinan sejenis tular di Facebook

Bernama
November 15, 2017 21:23 MYT
Polis juga akan memanggil kedua-dua lelaki tersebut untuk diambil keterangan sekali gus membantu siasatan awal. - Foto Youtube
Polis sedang menjalankan siasatan berhubung laporan perkahwinan sejenis yang tular di media sosial (Facebook) melibatkan dua lelaki disyaki berasal dari Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus dalam kenyataan di sini hari ini berkata pihaknya akan memanggil kedua-dua lelaki tersebut untuk diambil keterangan sekali gus membantu siasatan awal.
Menurutnya, siasatan itu dilakukan susulan polis menerima dua laporan masing-masing di Tawau dan Kota Kinabalu.
Fadil berkata siasatan polis itu turut melibatkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenalpasti pemilik akaun Facebook berkenaan.
Pada 12 November lalu, Pengerusi Persatuan Bela Belia Tawau (PEMBELA) M Shamry Sani membuat laporan berhubung perkara itu selepas dua hari sebelumnya melihat satu status di Facebook Tawau atas nama Pui Chi (tulisan Cina) memaklumkan satu upacara pra perkahwinan sejenis dijalankan di Kuala Lumpur melibatkan dua orang lelaki berbangsa Cina dipercayai berasal dari Tawau.
Menurut Shamry laporan polis dibuat kerana tindakan perkahwinan sejenis itu adalah tidak wajar serta tidak bermoral dan dilarang di negara ini.
Dalam status yang tular itu kedua-dua lelaki tersebut dipercayai memiliki sebuah kedai minuman di Pusat Komersil Bintang Kubota di sini.
-- BERNAMA
#Facebook #media social #Perkahwinan sejenis #Polis Daerah Tawau #Tawau
;