Polis siasat kutipan derma palsu
Sinar Harian
September 26, 2021 09:00 MYT
September 26, 2021 09:00 MYT
PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan melibatkan penipuan kutipan derma yang oleh pihak yang menyamar sebagai pelindung haiwan menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, beberapa laporan polis telah diterima melibatkan penipuan kes kutipan sumbangan dan derma ini.
"Laporan pertama diterima pada Rabu melibatkan seorang mangsa yang kerugian hampir RM15,000 di mana pembayaran telah dibuat ke dalam dua akaun bank berbeza.
"Susulan kejadian, satu laporan lagi diterima melibatkan satu artikel di Facebook mengenai satu pihak yang menyamar sebagai organisasi yang terlibat dalam memelihara, memberi pertolongan dan perlindungan kepada haiwan selain mendapatkan sumbangan derma," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, kertas siasatan telah dibuka berkaitan laporan polis yang diterima pihaknya.
"Setakat ini sebanyak lima laporan polis diterima berkaitan penipuan kutipan derma ini.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, orang ramai diminta agar tidak mudah terperdaya dengan sebarang kenyataan kutipan derma di media sosial.
"Semak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sekaligus sebagai pencegahan awal mengelakkan menjadi mangsa penipuan aktiviti ini," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.