Polis siasat kes pertengkaran penghantar makanan dan warga asing di stesen minyak

Bernama
Jun 23, 2023 18:55 MYT
Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 50 saat di laman Twitter 'MyNewsHub' menunjukkan kejadian pertengkaran antara mereka di stesen minyak terbabit. - Foto fail/Ihsan pembaca
ISKANDAR PUTERI: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung kes pertengkaran mulut melibatkan sekumpulan individu di sebuah stesen minyak di sini, pada 16 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara seorang penghantar makanan dan dua lelaki warga asing ketika mahu mengisi minyak.
"Kedua-dua lelaki warga asing itu dikenal pasti sebagai warga Singapura dan usaha mengesan sedang dilakukan dengan bantuan polis Singapura (SPF)," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian berkenaan diminta untuk tampil membantu pihak polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 50 saat di laman Twitter 'MyNewsHub' menunjukkan kejadian pertengkaran antara mereka di stesen minyak terbabit.
-- BERNAMA
#pertengkaran #stesen minyak #warga singapura #penghantar makanan
;