Polis siasat kes bacaan doa tular

Sinar Harian
Ogos 25, 2023 15:01 MYT
Menurut Allaudeen, laporan itu diterima pihaknya pada 22 Ogos. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis menerima satu laporan berkenaan tindakan seorang lelaki yang membaca doa dalam satu majlis yang turut disertai upacara keagamaan penganut lain.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, laporan itu diterima pihaknya pada 22 Ogos.
“Setakat ini, kita terima satu laporan berhubung insiden berkenaan.
“Siasatan berhubung laporan itu dilakukan oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, masyarakat dinasihat agar tidak membuat sebarang andaian mengenai kes terbabit.
Jelas beliau, sebaliknya, periksa dahulu sebelum membuat keputusan untuk tularkannya.
"Jangan jari jemari terlalu laju untuk tularkan sesuatu isu. Apabila tular, kesannya sangat besar, semak kesahihan berita dan implikasinya," ujarnya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan melakukan siasatan lanjut berhubung isu terbabit bagi memastikan amalan itu tidak mengandungi unsur menyalahi pandangan hukum atau fatwa.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian
#Allaudeen Abdul Majid #Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan #upacara keagamaan penganut lain #audio tular
;