Polis siasat kematian mengejut lelaki warga asing yang sedang dalam tahanan

Bernama
November 25, 2024 21:44 MYT
Hussein berkata semasa dalam proses dokumentasi, lelaki itu telah tidak sedarkan diri sebelum polis mendapatkan bantuan pihak perubatan KLIA. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Polis kini menyiasat punca kematian mengejut seorang lelaki warganegara asing yang sedang dalam tahanan di balai polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan kira-kira 1.30 tengah hari Sabtu, selepas didapati melakukan kacau ganggu dan bertindak agresif semasa berada di KLIA Terminal 1.
"Ekoran itu, satu tangkapan telah dibuat oleh pihak polis daripada Balai Polis Main Terminal Building (MTB) , Ibu Pejabat Polis KLIA.
"Ketika ditangkap, lelaki itu masih bertindak agresif dan telah merosakkan barang-barang milik balai polis dan juga mengakibatkan kecederaan terhadap dua anggota polis dan seorang anggota polis bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penahanan terhadap lelaki itu yang sedang dalam perjalanan dari United Kingdom ke Phuket, Thailand, dan transit di KLIA, dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Akta yang sama.
Hussein berkata semasa dalam proses dokumentasi, lelaki itu telah tidak sedarkan diri sebelum polis mendapatkan bantuan pihak perubatan KLIA.
Beliau berkata lelaki berkenaan telah diberikan rawatan awal oleh doktor sebelum disahkan meninggal dunia.
"Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang semalam, namun punca kematian belum dikenal pasti dan memerlukan keputusan siasatan makmal," katanya.
Hussein berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan diteruskan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
"Siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan kepada koroner. Kes ini juga telah dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebastatakelakuan Polis 2022 (Akta 839)," katanya.
-- BERNAMA
#KLIA #Seksyen 323 Kanun Keseksaan #bedah siasat #warga asing
;