Polis siasat kejadian tular individu pegang objek disyaki pistol

Bernama
Jun 13, 2024 07:00 MYT
Tular video menunjukkan seorang individu memegang satu objek berwarna hitam disyaki pistol dan memandu kereta secara berbahaya. - Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes individu memegang objek menyerupai pistol dan memandu secara berbahaya dipercayai berhampiran Pantai Batu Buruk di sini kira-kira 4 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada orang awam berhubung kes berkenaan yang tular di media sosial.
"Bagaimanapun saya menafikan ia kes penculikan," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Terdahulu, tular video berdurasi 38 saat di Facebook menunjukkan individu terbabit memegang satu objek berwarna hitam disyaki pistol dan memandu kereta secara berbahaya dengan menyeberang pembahagi jalan untuk memasuki laluan bertentangan.
Video tersebut dimuat naik dengan kapsyen mendakwa seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah diacu pistol di perut oleh pemandu berkenaan yang dikatakan cuba melarikan seorang kanak-kanak.
Dalam perkembangan lain, Azli berkata seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meninggal dunia selepas kira-kira 18 jam bertarung nyawa setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans di persimpangan hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, 4.30 petang Rabu.
Beliau berkata Umie Elysha Lyana Basharuddin, 22, meninggal dunia pada 10.38 pagi semalam ketika dirawat di wad kecemasan HSNZ akibat kecederaan parah di kepala.
-- BERNAMA
#pistol #memandu secara berbahaya #Kuala Terengganu #kertas siasatan
;