Polis siasat kejadian conteng tembok masjid di Kuala Kubu Baharu
Bernama
Mei 11, 2024 17:00 MYT
Mei 11, 2024 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tembok pagar sebuah masjid di Kuala Kubu Baharu (KKB), Selangor diconteng dengan perkataan menghina Islam.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ahli jawatankuasa masjid berkenaan pada 9 pagi tadi.
"Kita membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengeluarkan perkataan, bunyi, isyarat dan sebagainya berniat hendak melukakan perasaan keagamaan seseorang.
"Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu, tular di laman media sosial gambar tembok sebuah masjid di KKB diconteng dan difahamkan pihak masjid berkenaan sudah mengecat semula tembok tersebut.
-- BERNAMA