Polis siasat Jamal berhubung Himpunan Selamatkan Selangor

Astro Awani
Oktober 19, 2015 10:00 MYT
ABDUL SAMAH: polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa kebenaran. -Gambar fail
Polis akan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan haram di hadapan Bangunan Umno Ampang, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, mereka termasuk Pengerusi Badan Bukan Kerajaan Peniaga Melayu Datuk Jamal Md Yunos yang bertindak meneruskan perhimpunan itu walaupun permohonan ditolak polis sebelum ini.
Menurutnya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa kebenaran.
"Walaupun perhimpunan itu diadakan di pekarangan Bangunan Umno, polis tetap menyiasat kes berkenaan kerana tiada notis yang diterima mengenai perhimpunan berkenaan.
"Apabila penganjur tidak mengadakan perhimpunan itu di dalam dewan, semua ucapan mereka boleh didengar oleh orang ramai di luar bangunan berkenaan," katanya selepas majlis penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam, hari ini.
Perhimpunan itu pada awalnya dijadual diadakan di Spectrum, Bandar Baru Ampang. Namun, selepas permohonan ditolak Ketua Polis Daerah, penganjur menukar lokasi himpunan itu di pekarangan Bangunan Umno Ampang Jaya.
Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan menyertai perhimpunan aman itu bagi menggesa kerajaan negeri mengotakan janji pilihan raya untuk membina rumah mampu milik.
#Abdul Samah Mat #akta perhimpunan aman #Ampang #Bangunan Umno #Jamal Md Yunos