Polis siasat insiden campak ular dalam kolam
Bernama
Oktober 19, 2016 18:28 MYT
Oktober 19, 2016 18:28 MYT
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak masih menyiasat insiden anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mencampakkan ular ke dalam kolam sewaktu kem bina diri yang disertai pelajar sekolah.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata setakat ini hanya satu laporan polis telah diterima iaitu daripada APM dan dua keterangan telah diambil.
"Kami percaya lebih banyak laporan polis akan dibuat selepas ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Semalam, Kolonel Pertahanan Awam Perak, Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman memberitahu empat jurulatih dan enam pembantu jurulatih digantung tugas serta-merta sehingga siasatan lanjut mengenai kejadian itu selesai.
Selain itu, modul tersebut yang dijalankan sejak hampir empat tahun lepas turut digantung bagi mengetahui jika terdapat pelanggaran Prosedur Operasi Standard.
Menurut Hasnan, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan talian iaitu merakam dan menyebarkannya.
Dalam kejadian itu, seramai 45 murid sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.
Rakaman video yang tersebar sejak beberapa hari lalu turut mendapat kritikan netizen yang menganggap tindakan itu boleh mendatangkan trauma kepada pelajar. - Bernama