Polis siasat himpunan kibar Jalur Gemilang di Menara Condong

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 27, 2024 12:55 MYT
Kira-kira 300 hingga 400 orang berkumpul di hadapan Menara Condong Teluk Intan sambil mengibar Jalur Gemilang.
IPOH: Polis akan menyiasat penganjuran himpunan kibarkan Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong, Teluk Intan pada Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata perhimpunan yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria itu tidak dimaklumkan kepada polis terlebih dahulu.
"Berdasarkan kesalahan tersebut, kes akan disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Kita akan memohon kebenaran untuk menyiasat daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan pihak yang terlibat akan dipanggil untuk merakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan.
"Justeru, pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kacau ganggu serta menggugat ketenteraman awam.
"Mana-mana individu yang didapati bersalah dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 di bawah peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.
Azizi berkata, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu menghantar pemakluman kepada pihak polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh cadangan.
Terdahulu beliau berkata, kira-kira jam 6 petang Sabtu, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak menerima aduan daripada pegawai rendah polis yang bertugas menjaga keamanan di Menara Condong medapati 300 hingga 400 orang berkumpul di hadapan menara tersebut.
Katanya, turut kelihatan seorang individu sedang memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan kumpulan berkenaan.
Menjelaskan lanjut. Azizi berkata, perhimpunan tersebut diadakan oleh beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Teluk Intan sempena Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang di Menara Condong.
Hasil siasatan awal pihak polis mendapati individu yang memberi ucapan adalah Razman.
Menurutnya, kira-kita 400 orang yang hadir antaranya terdiri daripada pimpinan Pas Perak, Pas Teluk Intan, NGO dan penduduk setempat.
Tambahnya, kira-kira 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz dikibarkan oleh peserta yang hadir di sekeliling Menara Condong, dengan diiringi lagu-lagu patriotik.
Difahamkan, perhimpunan itu dianjurkan sebagai tindak balas terhadap perbuatan sekumpulan individu mengibarkan bendera China dalam acara sambutan Guan Gong Sedunia di menara berkenaan, malam Khamis lalu.
#Menara Condong #bendera China #Jalur Gemilang #Pas Perak
;