Polis siasat Exco Selangor anjur sambutan hari raya

Sinar Harian
Mei 20, 2021 15:32 MYT
Gambar yang dimuat naik itu mendakwa terdapat seorang Yang Berhormat dalam satu majlis sambutan hari raya di rumahnya. - Gambar/ Sinar Harian
BANTING: Seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor disiasat polis susulan dakwaan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengadakan majlis sambutan hari raya di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, perkara itu dikesan pihaknya kira-kira jam 5.45 petang Khamis selepas tular di Twitter.
"Gambar yang dimuat naik @SuzieMusa itu mendakwa terdapat seorang Yang Berhormat (YB) bertaraf Exco di Selangor dalam satu majlis sambutan hari raya di rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat.
"Susulan itu, satu laporan telah dibuat dan siasatan telah dijalankan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A) 225/2021].
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#exco kerajaan negeri selangor #disiasat #polis #sambutan hari raya #Aidilfitri #SOP #Ketua Polis Daerah Kuala Langat