Polis siasat dua kes penipuan bernilai lebih RM2.3 juta

Bernama
Januari 16, 2025 00:10 MYT
Suspek warga tempatan berusia 56 tahun itu berkenalan dengan mangsa pada 2010 sebelum membuat tempahan produk kecantikan pada 2020.
SHAH ALAM: Polis sedang menyiasat dua kes penipuan membabitkan pembekalan produk kecantikan dan pelaburan tidak wujud secara dalam talian melibatkan kerugian lebih RM2.3 juta.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataan pada Khamis berkata bagi kes penipuan pembekalan produk kecantikan, mangsa yang merupakan pengarah syarikat tidak menerima sebarang bayaran bagi tempahan produk yang dibuat suspek sejak tahun 2020, dan sehingga kini berjumlah lebih RM1.2 juta.
Beliau berkata suspek warga tempatan berusia 56 tahun itu berkenalan dengan mangsa pada 2010 sebelum membuat tempahan produk kecantikan pada 2020.
"Setelah penghantaran dibuat, suspek tidak membuat bayaran sehingga mengakibatkan kerugian, sebelum mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang," katanya.
Hussein berkata kes penipuan pelaburan tidak wujud pula melibatkan seorang pengurus syarikat swasta berusia 54 tahun yang terperdaya dengan iklan pelaburan yang dijumpai di Facebook.
Beliau berkata mangsa warga tempatan mengalami kerugian lebih RM1.1 juta setelah membuat 21 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#polis #siasatan #kes penipuan #pembekalan produk kecantikan
;