Polis siasat dakwaan wanita diperlekeh ketika buat laporan

Bernama
Oktober 7, 2023 15:27 MYT
Polis menyiasat isu tular di media sosial berkenaan dakwaan seorang wanita diperlekeh anggota pasukan keselamatan itu ketika membuat laporan di Ipoh, tengah malam tadi. - Gambar hiasan/PDRM
IPOH: Polis menyiasat isu tular di media sosial berkenaan dakwaan seorang wanita diperlekeh anggota pasukan keselamatan itu ketika membuat laporan di Ipoh, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya memandang serius aduan itu dan amat menghargai maklum balas diberikan orang awam berkenaan mutu perkhidmatan kaunter aduan balai polis.
"Perkara ini telah dirujuk kepada Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk menjalankan siasatan dalaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap isu berkenaan sementara menunggu hasil siasatan pihak polis.
Awal pagi tadi, wanita terbabit menerusi laman sosial X telah memuat naik imej salinan laporan polis bersama kenyataan mendakwa beliau diperlekehkan anggota polis ketika membuat laporan.
-- BERNAMA
#wanita diperlekeh #laporan #isu tular #media sosial