Polis siasat dakwaan wanita dihubungi anggota selepas mohon kebenaran rentas negeri
Bernama
Jun 29, 2021 04:20 MYT
Jun 29, 2021 04:20 MYT
KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan susulan dakwaan seorang wanita yang dihubungi anggota polis melalui aplikasi WhatsApp selepas membuat permohonan kebenaran rentas negeri, seperti yang tular di media sosial, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata siasatan dibuat selepas pihaknya mengesan satu hantaran oleh wanita berusia 26 tahun itu yang tular di Twitter.
"Wanita itu memaklumkan dia telah pergi ke Balai Polis Setapak untuk memohon kebenaran rentas negeri sebelum dihubungi melalui mesej WhatsApp oleh anggota polis.
"Laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat wanita yang bekerja sebagai penganalis pelaburan di Balai Polis Gombak kira-kira 7.30 malam tadi dan dia akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti anggota polis yang didakwa menghubungi wanita berkenaan.
Jelasnya, polis tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan sebarang salah laku dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.
Ashari berkata, kes disiasat oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Hari ini tular di media sosial apabila seorang wanita berkongsi perbualan antara dirinya dengan individu didakwa anggota polis selain mempersoalkan tindakan anggota tersebut menghubungi dirinya.
-- BERNAMA
#dihubungi anggota polis
#kebenaran rentas negeri
#Ashari Abu Samah
#Balai Polis Setapak
#Balai Polis Gombak
#polis siasat anggota