Polis siasat dakwaan pengadu berpakaian cosplay 'disekolahkan' ketika buat laporan
Afiezy Azaman
Mei 18, 2022 08:10 MYT
Mei 18, 2022 08:10 MYT
KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita di media sosial mengenai layanan buruk anggota bertugas semasa membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya, Petaling Jaya, Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan siasatan tatatertib telah dijalankan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS), IPD Petaling Jaya.
"Siasatan mendapati wanita terbabit telah hadir di Balai Polis Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Isnin lalu untuk membuat laporan mengenai gangguan di sebuah festival anime.
"Namun merasa tidak selesa dengan layanan serta tutur kata oleh anggota polis yang bertugas pada ketika itu," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pegawai atau anggota yang terbukti terlibat dalam insiden berkenaan dan pihak polis akan sentiasa memberikan layanan serta perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Selasa lalu, tular di media sosial Twitter, seorang pengguna mendakwa 'disekolahkan' oleh seorang anggota polis ketika mahu membuat laporan mengenai diintai dan diganggu seorang lelaki di festival anime.
Katanya, dia terpaksa memakai pakaian cosplay ke balai polis berkenaan kerana mahu membuat laporan dengan cepat.
Bagaimanapun, ketika mahu membuat laporan, dia mendakwa anggota polis berkenaan menegur pakaiannya sehingga membuatkan dia berasa tidak selesa.