Polis siasat dakwaan kanak-kanak cedera ketika di taska
Sinar Harian
April 8, 2023 17:15 MYT
April 8, 2023 17:15 MYT
PUTRAJAYA: Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa mengalami kecederaan ketika berada di sebuah taska di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat oleh ibu mangsa pada jam 10.26 malam.
"Wanita berkenaan membuat laporan berkaitan beberapa kesan gigitan di tangan anaknya semasa dihantar ke sebuah taska di Putrajaya.
"Siasatan dibuka dan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mangsa telah dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.
"Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan kecederaan selari dengan kesan gigitan kanak-kanak seusia.
"Selain itu, semakan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati taska tersebut berdaftar dan mempunyai lesen yang sah," katanya.
Ujar Asmadi, pada mulanya kedua pihak bersetuju untuk tuntutan ganti rugi terhadap kejadian.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada penyelesaian dapat dibuat oleh kedua-dua pihak," katanya.
Pada Khamis, tular hantaran di Facebook yang dipercayai dimuat naik oleh seorang wanita mendakwa anaknya mengalami kecederaan ketika berada di bawah jagaan sebuah taska di sini. -Sinar Harian