Polis siasat dakwaan guru bercinta dengan pelajar lelaki
Sinar Harian
Mac 24, 2024 17:30 MYT
Mac 24, 2024 17:30 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan daripada keluarga remaja lelaki berusia 17 tahun yang didakwa menjalinkan hubungan dengan gurunya.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, laporan polis dibuat Disember tahun lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Kesemua pihak yang terbabit sudah dipanggil merakam percakapan termasuk remaja dan guru berkenaan.
"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Seksual Terhadap kanak Kanak 2017.
"Siasatan masih berjalan yang mana kertas siasatan dihantar ke Bukit Aman sebelum diarahkan meneruskan siasatan," katanya.
Terdahulu, individu yang mendakwa sebagai saudara mangsa menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaannya berhubung kes itu.
Dalam luahannya di aplikasi X itu, dia memberitahu, ibu mereka sudah membuat laporan polis serta laporan berasingan kepada Pejabat Pendidikan Daerah.
Walaupun guru itu dipindahkan ke sekolah lain, mereka mendakwa guru terbabit dan adiknya masih berhubung dan pernah bertemu di pantai secara rahsia.
Bagaimanapun, dia kemudian menurunkan hantaran itu, yang menjadi tular.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian