Polis siasat dakwaan Exco Pulau Pinang 'makan' di kedai langgar SOP PKP

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 26, 2021 17:46 MYT
Jelas Lip Chee, gambar berkenaan dimuat naik di laman Facebooknya pada Rabu oleh pembantu peribadinya sebagai salah satu cara membantu peniaga kedai kecil mempromosikan produk jualan mereka. - Foto Facebook/Soon Lip Chee
BUTTERWORTH: Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dikatakan 'makan' di sebuah kedai di Medan Selera Sin Tat Garden, Butterworth.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihak polis telah menerima aduan susulan tular gambar yang dimuat naik Lip Chee di laman Facebooknya pada Rabu.
Susulan laporan berkenaan, Noorzainy berkata pihaknya akan mengambil keterangan daripada Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal dan juga pemilik kedai berkenaan bagi membantu siasatan.
"Kita akan memanggil Exco dan beberapa individu lain bagi memberi keterangan selepas gambar yang menunjukkan beliau makan di sebuah kedai makan tular hari ini," kata Noorzainy.
Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3 petang 23 Mei lalu, Lip Chee mendakwa beliau hadir di medan selera tersebut untuk mempromosikan sebuah gerai makan di situ.
Noorzainy berkata, berdasarkan siasatan awal, Lip Chee mendakwa beliau hanya berlakon sedang makan di situ tanpa memakai pelitup muka.
Beliau memberitahu tidak makan di situ sebagaimana didakwa dan hanya mengambil gambar atas permintaan pemilik kedai.
Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.
Sementara itu, Lip Chee ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung siasatan berkenaan.
Jelasnya, gambar berkenaan dimuat naik di laman Facebooknya pada Rabu oleh pembantu peribadinya sebagai salah satu cara membantu peniaga kedai kecil mempromosikan produk jualan mereka.
''Memang saya ada ambil gambar atas permintaan tauke kedai, tetapi saya tidak makan, hanya berlakon sahaja, setiap Rabu saya memang akan muat naik gambar jualan makanan penjaja kecil, ia usaha saya untuk bantu mereka, itu sahaja," katanya lagi.
Gambar Lip Chee sedang makan di sebuah kedai makan tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.
Gambar tersebut dimuatnaik di Facebook Lip Chee dengan keterangan yang ditulis dalam bahasa Mandarin beserta hashtag 'Throwback.'
#SOP #Exco #perintah kawalan pergerakan #langgar SOP #penyakit berjangkit #Facebook #Soon Lip Chee #ADUN
;