Polis siasat dakwaan cubaan culik di tadika Bandar Baru Uda

Siti Nur Aqilla Omar
September 30, 2022 20:16 MYT
Polis menyiasat dakwaan tular cubaan culik seorang murid sekolah tadika di Bandar Baru Uda. - Gambart hiasan/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Polis menyiasat dakwaan tular cubaan culik seorang murid sekolah tadika di Bandar Baru Uda, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata siasatan itu dibuat selepas ia tular di media sosial sejak semalam.
Katanya pihak polis telah mengenal pasti individu yang memuat naik hantaran berkenaan dalam satu kumpulan WhatsApp yang dipercayai disertai sekumpulan individu dan komuniti setempat.
"Pihak polis telah melawat tempat kejadian dan beberapa individu yang berkaitan telah ditemu bual.
"Hasil siasatan sehingga kini, pihak polis tidak menerima sebarang aduan tentang terlakunya kejadian sepertimana yang dimaksudkan.
"Malah tiada individu yang tampil ke hadapan yang boleh mengesahkan adanya cubaan culik atau kehilangan anak seperti yang didakwa pihak berkenaan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Fariz Ammar, masyarakat dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan mesej tular yang boleh menggugat keamanan serta ketenteraman.
"Tindakan tegas akan diambil oleh pihak polis ke atas mana-mana pihak yang menyebarkan sebarang berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.
"Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu didakwa mengikut seksyen 233 Akta Komunikasj dan Multimedia 1998," katanya lagi.
#dakwaan culik #murid tadika #pelajar #tadika #Bandar Baru Uda
;