Polis siasat dakwaan buli di sekolah berasrama penuh di KL

Bernama
Oktober 5, 2024 21:42 MYT
Sulizmie Affendy Sulaiman berkata setakat ini pihaknya menerima lima laporan berhubung isu terbabit. - Gambar hiasan/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku kejadian buli membabitkan anak seorang penyanyi dan beberapa individu lain di sebuah sekolah berasrama penuh di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata setakat ini pihaknya menerima lima laporan berhubung isu terbabit.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kita sudah merakam keterangan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan seorang penyanyi berumur 51 tahun mendedahkan anak lelakinya berusia 14 tahun dibuli dan kesal dengan tindakan pihak sekolah yang didakwa bukan sahaja tidak peka, malah tiada tindakan terhadap masalah buli di sekolah berkenaan.
Selain itu, terdapat ibu bapa lain di sekolah sama mendedahkan anak mereka dibuli enam pelajar di institusi terbabit sejak akhir tahun lepas hingga kini.
-- BERNAMA
#buli #sekolah berasrama penuh #Kanun Keseksaan #penyanyi
;