Polis siasat anggota didakwa minta wang daripada dua beranak

Sinar Harian
November 12, 2021 07:41 MYT
Azri berkata, pihaknya akan menyiasat sekiranya benar terdapat penglibatan anggota polis memeras ugut mangsa.
KUALA LUMPUR: Polis meminta dua lelaki warga asing tampil membantu siasatan susulan tular dakwaan anggota polis meminta wang daripada mereka di Jalan Gombak di sini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
"Kita berharap dua lelaki tersebut tampil bagi membantu siasatan dan mengenal pasti suspek yang terlibat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat sekiranya benar terdapat penglibatan anggota polis memeras ugut mangsa.
"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk mengenakan pertuduhan jenayah di samping siasatan salah laku terhadap anggota polis itu," jelas beliau.
Azri berkata, pihaknya pernah menghadapi kes sebegini sebelum ini, bagaimanapun siasatan mendapati suspek adalah individu yang menyamar sebagai anggota polis.
Pada Rabu, tular di laman sosial berhubung dakwaan dua beranak warga asing ditahan di Jalan Gombak di sini kerana salah seorang daripada mereka tidak membawa pasport.
Dua beranak itu memaklumkan kepada suspek berkenaan bahawa ahli keluarga mereka yang lain boleh datang ke lokasi kejadian untuk membawa dokumen dan pasport tersebut.
Dua beranak itu turut mendakwa suspek mengugut mereka.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Bukit Aman #Rasuah #polis #warga asing
;