Polis seru wanita mangsa ragut berhampiran Sogo tampil bantu siasatan

Afiezy Azaman
Julai 13, 2019 10:30 MYT
Polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang kebetulan terakam kejadian ragut tersebut pada pukul 1 petang di Kompleks Sogo. - Foto ihsan pembaca Astro AWANI
Seorang wanita mangsa ragut di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Ibu negara diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan polis yang dibuat mangsa.
“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang kebetulan terakam kejadian ragut tersebut pada pukul 1 petang di Kompleks Sogo.
“Lelaki berkenaan difahamkan sedang merakam video Vlog di hadapan komples berkenaan. Berdasarkan keterangan suspek seorang lelaki menaiki motosikal telah meragut rantai leher seorang wanita yang sedang melintas jalan dari arah Kompleks Sogo ke Kompleks Pertama,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Fahmi berkata siasatan dibuat berdasarkan laporan lelaki berkenaan namun mangsa masih belum tampil untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun katanya, pihak polis telah memulakan siasatan dan menyeru mangsa untuk tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran.
#Jalan Tuanku Abdul Rahman #Ketua Polis Daerah Dang Wangi #Kompleks Pertama #merakam #Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah #polis #ragut #siasatan #Sogo #wanita
;