Polis serbu sarang penagihan dadah, 43 individu ditahan

Bernama
Julai 21, 2022 19:21 MYT
Kamarul Zaman berkata, semua yang ditahan itu didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952. - Bernama
SEGAMAT: Polis Johor berjaya menahan 43 individu selepas menyerbu 'sarang' penagihan dadah dalam Ops Tapis yang dijalankan di sekitar kawasan Felda Pemanis, di sini, bermula 8 malam tadi sehingga awal pagi ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi khas itu, kesemua penagih berusia 21 hingga 59 tahun itu dipercayai menjadikan beberapa lokasi sekitar Felda berkenaan sebagai tempat untuk melepaskan gian dan pengedaran dadah secara kecil-kecilan.
"Malah melalui operasi ini, kita telah berjaya menangkap beberapa suspek yang sememangnya dikehendaki kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan dan jenayah," katanya pada sidang media di Program Dialog Ketua Polis Johor Bersama Warga Felda Pemanis. di Dewan Semai Bakti, Felda Pemanis, dekat sini, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, semua yang ditahan itu didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.
Katanya, antara yang turut dirampas dalam operasi itu, pelbagai jenis dadah termasuk syabu seberat 1.50 gram (gm), heroin (0.60gm) serta dua biji pil yaba.
Katanya, bermula 1 Januari lepas sehingga semalam (20 Julai), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah menangkap 7,925 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.27 tan pelbagai jenis dadah bernilai RM10.32 juta.
Katanya, turut di sita harta bernilai RM5.23 juta.
-- BERNAMA
#penagih dadah #port ddah #polis johor #Kamarul Zaman Mamat
;